Sunday, 21 February 2016

             Prinsip Rukun Negara 


Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden; 

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut: 

• Kepercayaan kepada Tuhan 
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara 
• Keluhuran perlembagaan 
• Kedaulatan undang-undang 
• Kesopanan dan kesusilaan 

Sejarah Pembentukan Rukun Negara

Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 iaitu semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-13. Doktrin Rukun Negara diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ketika itu memikul tanggungjawab menjalankan pemerintahan negara apabila sistem kerajaan berparlimen digantung pada 16 Mei 1969 ekoran rusuhan kaum yang lebih dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN yang diketuai oleh seorang Pengarah, ditubuhkan bagi memulihkan perpaduan yang semakin goyah pada masa itu iaitu perbalahan antara etnik yang pernah berlaku pada 1946, 1956 (di Pulau Pinang), 1960 (di Pangkor), 1966 (di Bukit Mertajam), 1967 (di Pulau Pinang) dan 13 Mei 1969 (di Kuala Lumpur). 

Rukun Negara adalah hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN). Bagi melicinkan pemerintahan negara di bawah MAGERAN yang dipimpin oleh Y.A.B Tun Abdul Razak, MAGERAN telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. 

No comments:

Post a Comment